Username

Password

Remember me
Forgotten your password?
test
Latest News
 
CTRM yakin raih kontrak Boeing

CTRM yakin raih kontrak Boeing, 24 May 2005

CYBERJAYA 23 Mei - Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) yakin memperoleh kontrak pembekalan komponen pesawat untuk Boeing Company sedikit masa lagi.

``Kami sedang berusaha untuk mendapatkan kontrak pembekalan komponen pesawat Boeing Company menggunakan komposit campuran yang semakin diminati oleh firma pengeluar kapal terbang global,'' kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kolonel (B) Rosdi Mahmud.

Rosdi, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Beliau menambah, CTRM juga yakin akan terus mendapat kepercayaan untuk menjadi rakan kongsi dua gergasi industri penerbangan global lain iaitu Airbus dan BAE System.

``Kepercayaan yang diberikan penting kerana CTRM mempunyai impian untuk menjadi firma tempatan yang bergerak aktif dalam industri penerbangan global sebagai pembekal komponen yang dipercayai dan memenuhi piawaian antarabangsa,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

CTRM yang ditubuhkan pada tahun 1990, dimiliki 90 peratus kepentingannya oleh Kerajaan manakala bakinya 10 peratus oleh Petronas.

Selain mengeluarkan pesawat ringan melalui anak syarikat, Eagle Aircraft (M) Sdn. Bhd., CTRM juga merupakan pembuat dan pembekal komponen komposit kepada firma tempatan dan luar negara antaranya Airbus, Rolls Royce dan BAE System.

CTRM yang memiliki ibu pejabat di sini beroperasi menerusi kilangnya yang terletak di Melaka dengan kapasiti pengeluaran bernilai RM250 juta setahun dengan sokongan lebih 750 kakitangan.

Ditanya mengenai prestasi kewangan semasa, beliau berkata: ``Kami yakin akan mencatatkan pertumbuhan perolehan melebihi 60 peratus tahun ini kepada RM260 juta, berbanding pendapatan RM150 juta pada tahun lalu.

``Berdasarkan tempahan, kami telah berjaya menyelesaikan kontrak bernilai RM260 juta tetapi masih berpeluang untuk menjana pendapatan lebih daripada itu menerusi tawaran kontrak-kontrak yang lain,'' ujarnya lagi.

Berikutan berlakunya peningkatan permintaan, Rosdi berkata, CTRM akan menambah kapasiti pengeluaran dengan menggunakan bangunan tambahan yang sebelumnya ini disewakan selewat-lewatnya mulai bulan September akan datang.

Daripada beroperasi di kawasan seluas 220,000 kaki persegi, CTRM akan mendapat keluasan tambahan sebanyak 110,000 kaki persegi hasil penggunaan bangunan tambahan berkenaan, jelasnya.

Ditanya mengenai hasrat CTRM untuk disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia seperti yang pernah dilaporkan dahulu, Rosdi menambah, aktiviti tersebut disasarkan untuk pelaksanaan dua tahun lagi.

Beliau menambah, perolehan dari aktiviti penyenaraian itu akan digunakan untuk membayar semula pelaburan oleh kerajaan manakala selebihnya diperuntukkan bagi menambah daya saing CTRM agar lebih maju pada masa akan datang.


BACK TO LIST